Pandangan pembeli selaku pihak yang berkepentingan perlu dipertimbangkan sebelum permohonan bagi meminda tempoh masa penyerahan pemilikan kosong kepada pembeli, dikemukakan kepada Pengawal Perumahan.

Sehubungan itu, surat yang dikeluarkan oleh Pengawal Perumahan yang membenarkan sebuah syarikat pemaju untuk melewatkan tempoh penyerahan pemilikan kosong selama setahun kepada lebih 100 pembeli unit Sri Istana Kondominium, adalah tidak sah dan terbatal.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai oleh Datuk David Wong Dak Wah yang bersidang bersama Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal dalam rayuan yang dikemukakan oleh pemaju perumahan, BHL Construction Sdn. Bhd.

Keputusan mahkamah itu menjadi nas undang-undang dan menyentuh kepentingan pembeli-pembeli rumah yang terjejas ekoran kegagalan pemaju menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan.

Mahkamah memberi pertimbangan itu kerana kelewatan penyerahan pemilikan kosong memberi kesan yang besar kepada pembeli, sehubungan itu hak mereka wajar dilindungi.

Dua lagi perayu terdiri daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pengawal Perumahan di kementerian itu.

Ketiga-tiganya merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Februari tahun lalu yang membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh pembeli-pembeli kondominium itu.

Hakim Harmindar ketika membacakan penghakiman bertulisnya berkata, Seksyen 24(2)(e) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 memberi kuasa kepada menteri mengawal selia perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli dan mewakilkan kuasa itu kepada Pengawal Perumahan.

Namun demikian, tiada bukti yang menunjukkan surat kebenaran lanjutan masa bertarikh 17 November 2015 itu yang ditandatangani oleh individu bernama K.N. Jayaseelan, dikeluarkan bagi pihak Pengawal Perumahan.

Sehubungan itu, panel berkenaan berpuas hati bahawa kebenaran lanjutan masa yang terkandung dalam surat berkenaan adalah tidak mempunyai kesan dan tidak boleh dikuatkuasakan.