PUTRAJAYA 26 Nov. – Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mengesyorkan agar jangka masa bagi setiap pihak berhujah bagi kes-kes di peringkat rayuan dihadkan kepada 20 minit.
Beliau berkata, pendekatan itu sesuai diamalkan bagi membolehkan peguam bela dan pendakwa raya mengemukakan penghujahan berkesan dengan membentangkan butiran yang paling penting terlebih dahulu.

Malanjum berpendapat, pelaksanaannya boleh dijadikan arahan asalkan dipersetujui oleh Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam.
Sehubungan itu, pihak-pihak yang berhujah tidak digalakkan menyimpan isi yang paling penting di akhir penghujahan, sebaliknya perlu menarik perhatian hakim pada awal prosiding mahkamah.
“Jangan simpan butiran yang paling penting pada akhir penghujahan kerana jika gagal menarik perhatian hakim dalam tempoh 10 minit pertama berhujah, dikhuatiri hakim tidak akan memberi perhatian kepada keseluruhan hujah,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Hakim Negara turut mengingatkan para hakim supaya tidak memotong penghujahan yang dikemukakan kerana jika kalah sekalipun, pihak-pihak yang berbalah tetap gembira kerana diberi peluang berhujah.
Beliau berucap pada majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia empat hakim Mahkamah Persekutuan dan lima hakim Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, 59; Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, 59; Tan Sri Idrus Harun, 63, dan Datuk P. Nallini, 59, dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Datuk Lau Bee Lan, 63; Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, 61; Datuk Yew Jen Kie, 65; Datuk Nor Bee Ariffin, 62, dan Datuk Has Zanah Mehat, 61, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.