Mohamad Romzi Zahari, 46, yang juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) membuat pengakuan tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut 24 pertuduhan pe­cah amanah, Mohamad Romzi yang merupakan Guru Penolong Kanan HEM di Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik, telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang tunai berjumlah RM349,650 yang merupakan peruntukan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin 2013 sekolah itu.

Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan curang­nya mengambil wang tunai antara RM450 hingga RM600 iaitu sebahagian daripada wang peruntukan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin sekolah itu yang sepatutnya diserahkan kepada 24 murid.

Bagi kesalahan tersebut, bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mohamad Romzi turut berdepan 24 pertuduhan lain iaitu didakwa memalsukan Borang Akuan Penerimaan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin 2013 ke atas semua murid terbabit dengan niat dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan menipu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kesemua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan oleh Mohamad Romzi di pejabat SK RPS Kemar, Gerik antara Julai dan September 2013.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin dan R. Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Musa dan T. Ellanggovan.

Terdahulu, Nurul Wahida menawarkan jaminan sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan namun Khairul Anuar memohon agar jaminan tersebut dikurangkan memandangkan anak guam beliau hanya berpendapatan RM5,000 sebulan.

Khairul Anuar memberitahu, jumlah jaminan tinggi yang ditawarkan itu akan menyukarkan anak guamnya untuk membayar wang jaminan tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM24,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin yang merupakan ahli keluarga terdekat serta me­netapkan sebutan kes pada 4 Oktober ini.