Ini merupakan tuntutan saman sivil berkaitan GST yang pertama di negara ini.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif menamakan Nuemera serta tiga pengarahnya, Shahriza Kamaruzzaman, Mohd. Noor Amin Mohd. Noor Khan dan Nur Jasni Mohamed sebagai defendan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut dinamakan sebagai pihak ketiga dalam tindakan saman itu.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid ketika membuat keputusan itu di dalam kamarnya memerintahkan defendan membuat pembayaran hari ini dan memerintahkan plaintif menarik balik saman itu selepas pembayaran dibuat.

Plaintif diwakili Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Pendakwaan, KDRM Selangor, Abdul Rasyiddi Ab. Drahman sementara defendan diwakili peguam Carmelila Cheong dan Soo Yee Fei manakala peguam Gabriel Cheah hadir bagi pihak SKMM.

Saman itu difailkan pada 15 Januari lalu.

Dalam pernyataan tuntu­tannya, plaintif berkata, Nue­mera merupakan orang kena cukai serta berdaftar di bawah Bahagian IV Akta GST 2014.

Menurut plaintif, selaku orang berdaftar di bawah akta berkenaan, syarikat itu dikehendaki mengemukakan penyata serta membayar cukai yang genap masa dan perlu dibayar kepada plaintif tidak lewat dari tarikh terakhir bulan berikutnya selepas berakhirnya tempoh bercukai syarikat itu.

Plaintif berkata, pada 13 Ogos 2015, pihaknya me­nerima penyata GST tanpa sebarang bayaran dibuat oleh defendan pertama.

Selanjutnya, plaintif berkata, pihaknya telah mengeluar­kan Bil Tuntutan Di Bawah Akta GST 2014 bertarikh 25 Ogos 2015 kepada Nuemera untuk me­nuntut bayaran GST yang ditaksir sebanyak RM988,351.32 bagi tempoh bercukai 1 April 2015 hingga 30 Jun 2015.

Plaintif bagaimanapun ber­kata, Nuemera hanya membuat pembayaran sebanyak RM98,835.13 pada 16 Disember 2015 dan masih mempunyai baki tunggakan sebanyak RM889,516.19.

Menurut plaintif, sehingga ke tarikh writ dan pernyataan tuntutan ini difailkan, walaupun telah melakukan pelbagai usaha, defendan-defendan masih enggan, cuai dan/atau gagal untuk membayar baki tunggakan cukai yang ditaksirkan sebanyak RM899,516.19 bagi tempoh bercukai 1 April 2015 hingga 30 Jun 2015. – BERNAMA