Menurut peguam belanya, Megat Syazlee Mokhtarom, pihaknya turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah majistret Petaling Jaya yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara sembilan bulan berserta notis perakuan segera.

“Permohonan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Diharapkan permohonan untuk penangguhan perlaksanaan hukuman dapat didengar secepat mungkin. Kami memohon agar hukuman terhadap Farid Kamil dapat ditangguhkan sehingga rayuan kes itu selesai,”katanya.

Pada 15 Mei lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mensabitkan pelakon filem Lagenda Budak Setan itu dengan kesalahan penyalahgunaan dadah itu selepas suami kepada pelakon Datin Diana Danielle memilih untuk berdiam diri pada hari pertama perbicaraan kes itu yang memasuki peringkat bela diri.

Tindakan itu menyebabkan mahkamah terpaksa membuat keputusan berdasarkan keterangan saksi dan bukti di peringkat pendakwaan. Farid Kamil sebelum ini dilaporkan akan memberi keterangan secara bersumpah.

Selain hukuman penjara sembilan bulan yang diarahkan berkuat kuasa pada hari sama, Majistret Nor Ariffin Hisham turut meletakkan pelakon itu bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan, Farid Kamil itu didapati telah menggunakan dadah jenis THC atau 11-nor-delta-9-etrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Pendakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 18 Disember tahun lalu. - UTUSAN ONLINE