Selain itu, turut dibebaskan seorang pengarah syarikat teknologi maklumat (IT) yang juga direman membabitkan kes sama.

Majistret Md. Bukhori Md. Roslan membenarkan pegawai kanan SSM itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala seorang lagi suspek dengan jaminan RM30,000 berserta seorang penjamin.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini kira-kira pukul 10.10 pagi dengan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM.

Sementara itu, seorang lagi pengarah syarikat IT yang direman berhubung kes sama sudah dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM.

Pada Selasa lalu, ketiga-tiga suspek lelaki itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, suspek-suspek ditahan kira-kira pukul 11 pagi pada Isnin lalu di pejabat dan rumah mereka di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta ibu negara.

Katanya, pegawai kanan berpangkat pengarah itu dikatakan telah bersubahat dengn dua syarikat IT terbabit bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ujarnya, dua pengarah syarikat terbabit pula dipercayai telah mengaut keuntungan dengan melakukan perkhidmatan perisian tanpa mengikut peraturan SKMM.

Semalam, dua lagi suspek iaitu pegawai kanan SSM dan seorang pengarah syarikat perundingan IT juga direman lima hari sehingga 26 Mac ini membabitkan kes sama.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009. - UTUSAN ONLINE