Pengakuan kedua-dua tertuduh, Intan Zaleha Mohd. Zaki, 24, dan Ahmad Helmi Osman, 26, dibuat setelah pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan secara berasingan itu, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa memiliki enam keping wang kertas palsu RM100 di sebuah rumah di Nombor 23 Kampung Budi Mukim Lesong di Pokok Sena pada pukul 3 petang pada 5 Ogos lepas.

Pendakwaan dilakukan oleh Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Sementara bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa membuat dan memiliki peralatan berupa mesin pencetak, komputer riba dan pisau pemotong untuk pemalsuan wang berkenaan di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan ke atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 489(D) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan penjara.

Dalam pada itu Ahmad Helmi turut menghadapi pertuduhan memiliki tiga keping wang kertas palsu RM100 pada masa dan lokasi sama.

Ahmad Helmi turut mengakui tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut yang juga dikendali Rebab mengikut Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Juraidah kemudian membenarkan kedua-dua diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang bagi dua pertuduhan berkenaan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga yang dihadapi Ahmad Helmi pula hakim menetapkan jaminan sebanyak RM4,000.

Juraidah menetapkan 4 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE