Perintah reman ke atas mereka yang berusia 29 dan 30 tahun dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Nur Hayatie Mohd. Saini selepas mereka dibawa ke mahkamah di sini pada pukul 10.30 pagi ini.

Permohonan reman itu dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Sembilan, Mohd. Khairi Abdul Karim.

Kedua-dua suspek yang merupakan Pembantu Pegawai Teknik TM Wilayah Johor Selatan itu ditahan SPRM di Ibu Sawat TM, Johor Bahru antara pukul 4.25 hinga 5.30 petang semalam.

Mereka disyaki menerima rasuah RM7,650 daripada satu sindiket jual beli kabel sebagai balasan membawa keluar drop fiber berjenama Lite Kabel milik TM dari stor syarikat utiliti itu secara tidak sah.

Dua lelaki itu adalah antara sembilan individu ditahan SPRM Negeri Sembilan baru-baru ini dalam siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah penjualan kabel antara tahun 2016 hingga 2017 yang menyebabkan TM kerugian antara RM4 juta hingga RM6 juta. - UTUSAN ONLINE