Tiada pengakuan direkodkan daripada seorang juruteknik, Mohamad Awang, 41, dan seorang petani dari Indonesia, Anwar, 28, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad didakwa cuba pergi ke Syria dengan maksud melakukan perbuatan pengganas di negara tersebut. Kesalahan itu didakwa di hadapan Crystal Crown Hotel, No. 3, Jalan Jambu Mawar, melalui Jalan Kepong kira-kira pukul 12 tengah hari, 21 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Anwar yang berketurunan Sunda pula didakwa pertuduhan serupa dan menghadapi satu lagi pertuduhan memiliki video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbitnya jenama Xiomi model Redmi Note 3 berwarna rose gold hitam pada tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfaida Mohd. Rashidee mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kes itu di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)2012 (SOSMA).

Hakim Zaman Mohd. Noor menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.