Tertuduh, Datuk Lee Ban Heng, 51, dan Datuk Chong Chee Heng, 43, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Rasidah Baharom.

Kedua-dua tertuduh didakwa memalsukan dokumen bagi 27 lot hartanah di Mukim Plentong melalui penama, Danny Loo Kheng Soon yang diserahkan sebagai dokumen tulen kepada Pembantu Tadbir di Kaunter Tingkat 1, Pejabat Pendaftaran Hakmilik, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor, Bangunan Dato' Mohamad Salleh Perang, Kota Iskandar, Iskandar Puteri di sini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 September 2015 dimana mereka tahu dokumen berkenaan palsu, namun menggunakannya dengan tujuan supaya sekatan kepentingan ke atas tanah-tanah terbabit dilepaskan.

Di mahkamah sama, Danny Loo, 36, yang juga merupakan seorang peguam pula mengaku tidak bersalah bagi 27 pertuduhan bersubahat dengan Ban Heng dan Chee Heng, bagi melakukan perbuatan terbabit. 

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM38,000 beserta dua penjamin dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan mereka juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai. 

Mahkamah menetapkan tarikh 17 Jun ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE