Perintah reman terhadap wanita berusia 40 tahun dan lelaki berumur 15 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Monica Joseph Gaisah berkuat kuasa hari ini, sehingga 24 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, wanita yang merupakan ibu kandung mangsa tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 11.20 pagi bersama anak lelakinya itu.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, remaja yang mempunyai masalah pembelajaran itu telah disimbah dengan air panas, dipukul dengan buluh selain dibiarkan tidur di luar rumah.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu bagaimanapun terbongkar selepas seorang individu telah berkongsikan mengenai penderitaan remaja perempuan berusia 14 tahun itu melalui ciapan di laman Twitternya semalam sehingga menyebabkan perkongsian itu tular dan mendapat perhatian ramai.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, mangsa kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Ujar beliau, pihaknya sedang menunggu laporan pemeriksaan ke atas mangsa sebelum mengesahkan kes berkenaan berunsur dera atau sebaliknya.

“Sama ada dia (remaja itu) akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau tidak, semua itu bergantung pada laporan penuh kesihatan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Noor Mushar berkata, polis juga sudah memanggil individu dikenali sebagai Jurais Abdullah yang bertanggungjawab mendedahkan perkara berkenaan semalam untuk diambil keterangan.- UTUSAN ONLINE