Tertuduh pertama yang berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah atas kesemua 14 pertuduhan yang dihadapinya manakala abangnya yang berusia 24 tahun membuat pengakuan yang sama atas dua pertuduhan.

Pertuduhan terhadap mereka dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azrul Darus.

Dua beradik itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa-mangsa yang merupakan adik perempuan tiri mereka di empat lokasi berlainan iaitu di dalam bilik tidur, bilik mandi, tandas dan ruang tamu di sebuah rumah flat di Jalan Permai 3, Desa Lembah Permai, Ampang dekat sini antara pukul 1 pagi dan 1.30 petang, antara awal 2013 dan awal Februari 2018.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 14, tertuduh pertama yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan didakwa telah merogol ketiga-tiga kanak-kanak perempuan itu yang berusia antara 9 dan 13 tahun ketika kejadian.

Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh kedua pula didakwa telah memasukkan kemaluan ke dalam mulut secara paksa terhadap seorang adik perempuan tirinya ketika kejadian berusia 10 tahun dengan niat melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii dan bagi pertuduhan itu dia dituduh mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama dengan cara meraba kemaluan dan memasukkan jari di bahagian kemaluan mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun.

Lelaki itu yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene dan Norhashimah Hashim manakala peguam Arieff Zackry Zohary mewakili kedua-dua tertuduh.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE