T. Soundthirarajan, 57, menghadapi tujuh pertuduhan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi manakala M. Kumaraguru, 46, didakwa atas dua pertuduhan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Di Petaling Jaya, Soundthirarajan didakwa menerima wang berjumlah RM531,642 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik Raveen Jewellery Enterprise yang mana dia merupakan pemilik tunggal syarikat menjual barang kemas tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Bhd., Damansara Jaya dekat sini, antara 5 Januari 2015 dan 9 Mac 2016.


Sementara itu, di ibu negara, Kumaraguru, 46, didakwa atas dua pertuduhan menerima wang berjumlah RM300,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun RHB Bank Bhd. milik Mentari Maju Textiles yang dia merupakan pemilik tunggal syarikat perniagaan tekstil tersebut.

Tertuduh yang sudah berkahwin didakwa melakukan perbuatan itu di RHB Bank Bhd., RHB Islamic cawangan Utama Kuala Lumpur, Tingkat 1, UOA Centre, No. 19, Jalan Pinang di sini antara 17 Januari dan 23 Februari 2017.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.


Soundthirarajan dibenarkan bebas dengan jaminan RM105,000 berserta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Kumaraguru diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Shafinas Shabudin dan Nur Ashikin Mokhtar sementara peguam, Nor Izzat Nordin mewakili Soundthirarajan dan Mohd. Shukri Ahmad Mansor mewakili Kumaraguru.