DUA ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP),M. Satees (kanan) dan P.David Marshel (kiri) didakwa atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menggunakan aplikasi Facebook melibatkan pemimpin MIC di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/ ZAINI HUSIN

M. Satees, 33, dan P. David Marshel, 43, kedua-duanya ahli DAP membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua orang kena saman (OKS) itu masing-masing didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook milik mereka telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati Mohan, 45, antara pukul 8 pagi dan 12.59 tengah hari, 24 Oktober 2017.

Kedua-dua pautan itu kemudian telah dibaca di Menara Manickavasagam, Jalan Rahmat di sini pada pukul 1 petang, hari yang sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan setiap OKS diikat jamin RM5,000, bagaimanapun peguam A. Sivanesan yang mewakili kedua-dua ahli majlis itu memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM2,000.

“Kedua-dua anak guam saya telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan mereka hadir ke mahkamah hari ini dari Pulau Pinang bagi menghadapi pertuduhan selepas dimaklumkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mahkamah membenarkan setiap OKS itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan selain membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kedua-dua kes tersebut dibicarakan bersama bermula 3 September ini.