Anggota bomba itu kemudian dikenal pasti sebagai Muhammad Adib dan saksi tersebut, R. Suresh, 33, memaklumkan sepakan itu menyakitkannya.

Suresh yang juga kontraktor pergi ke Kuil Sri Maha Mariamman bersama enam rakannya turut melakonkan semula posisi dia terjatuh ke atas Muhammad Adib selepas diminta berbuat demikian oleh peguam, Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Jabatan Bomba serta keluarga mangsa.

Jelas Suresh, pada mulanya dia berada pada jarak 14 meter dari jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang diserang sekumpulan lelaki, sebelum datang lebih dekat untuk melihat apa sebenarnya yang terjadi kerana ketika itu sudah ada jeritan dalam bahasa Tamil ‘jangan kasi masuk’ (ulle vidatenga).

“Ketika saya berada kira-kira satu meter dari anggota bomba yang tersandar dengan kaki terlunjur pada sebuah kereta, saya ditolak hingga terjatuh ke atas anggota itu. Tangan kanan saya di atas jalan, tangan kiri pula berpegang pada bumper kereta dan ketika itu saya merasa bahu kanan saya ditendang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu ketika disoal Pegawai Pengendali Inkues, Zhafran Rahim Hamzah, Suresh memaklumkan dia turut mendengar pertanyaan daripada orang awam ‘anggota bomba pun nak pukul ke’ ketika suasana sudah kecoh.

Bagaimanapun, dia memberitahu tidak nampak mana-mana pihak memukul anggota bomba dari kedudukannya asalnya (atas pembahagi jalan) tetapi dapat melihat seorang lelaki membawa objek panjang dan meluru ke arah FRT bersama sekumpulan lelaki lain, sebelum mereka mula menyerang hingga menyebabkan cermin jentera itu pecah.

“Dari jarak kedudukan saya dan dalam keadaan kecoh itu saya dengar orang menjerit ‘jangan pukul’ dalam bahasa Tamil beberapa kali tetapi saya tidak nampak sesiapa pun yang kena pukul,” ujarnya.

Kepada soalan Peguam Kamaruzzaman Abdul Wahab, yang mewakili keluarga Muhammad Adib, adakah dia mendengar ada anggota bomba dilanggar pada malam kejadian, Suresh berkata, dia tidak mendengarnya.

Suresh seterusnya menjawab tidak pasti ketika dicadangkan oleh Kamaruzzaman dengan menilai gerak-geri kumpulan lelaki tersebut yang mereka berniat menyerang Muhammad Adib.

Sementara itu, Hakim Rofiah Mohamad mengumumkan prosiding inkues akan bersambung pada pukul 10.30 pagi Isnin, dengan saksi kesembilan, R. Narresh, 30, menyambung keterangan.

Prosiding hari ini ditangguhkan pada pukul 1 petang selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah memaklumkan, beliau perlu membuat persiapan pada sebelah petang bagi kes rayuan oleh Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman.