Pertuduhan berkenaan membabitkan tujuh kesalahan bersabit pembuangan terjadual dan lapan melibatkan kesalahan pencemaran udara bersih pada awal bulan ini.

Wang Jing Chao, 34, warga Singapura dan Yap Yoke Liang, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut pertuduhan melibatkan pembuangan terjadual itu, Wang dan Yap didakwa gagal membuat pemberitahuan tentang buangan terjadual yang dihasilkan dalam masa 30 hari dari tarikh pengeluaran bua­ngan terjadual seperti ditetapkan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Kedua-duanya dituduh me­lakukan perbuatan itu pada 11 Mac kira-kira 12.25 tengah hari di P Tech Resources Sdn Bhd di PLO 113, Jalan Nibong 2, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan melibatkan pencemaran udara bersih pula, Wang didakwa gagal menjalankan pemantauan berkala di bawah peraturan sama manakala Yap pula dituduh gagal menyelenggara rekod bagi proses pengilangan dan pemantauan prestasi sistem kawalan pencemaran udara, sebagaimana ditentukan peraturan tersebut.

Kesalahan itu turut dilakukan kedua-duanya di tempat, masa dan tarikh yang sama. Oleh itu, kedua-duanya boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula dan membenarkan setiap tertuduh dijamin RM15,000 seorang bagi setiap pertuduhan melibatkan pembuangan terjadual dan RM3,000 seorang bagi setiap pertuduhan melibatkan pencemaran udara bersih.

Mahkamah turut mengarahkan Wang dan Yap diikat jamin dengan seorang penjamin namun penjamin Wang haruslah warga Malaysia dan perlu me­laporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 haribulan sehingga kes saman itu, selesai.

Proses pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal manakala Wang dan Yap diwakili peguam G. Subramaniam Nair.
 Sementara itu, pada prosiding yang sama, pendakwaan turut mengemukakan 15 pertuduhan sama ke atas kilang iaitu P Tech Resources Sdn. Bhd.

Wang dan Yap yang menjadi wakil syarikat itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan. – BERNAMA