Wan Azirul Nizam
Wan Azirul Nizam

Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Supe­rintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 39, berkata, berdasarkan pengamatan me­­lalui kamera litar tertutup (CCTV), beliau mendapati per­gerakan Siti Aisyah ma­suk ke Restoran Bibik Heri­tage.

“Mr. Chang pula memakai topi hitam ketika berjumpa Siti Aisyah dalam Restoran Bibik Heritage dan individu tersebut berperanan menya­pu cecair pada tangan Siti Aisyah,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurutnya lagi, Hanamori (datuk atau pak cik) memberikan arahan kepada Mr. Y yang berbaju hitam dan membawa beg galas, manakala James pula individu yang merekrut Siti Aisyah.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian pada hari kelapan perbicaraan terhadap Siti Aisyah, 25, dan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, 45, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Siti Aisyah, tertuduh pertama dan Thi Huong, tertuduh kedua didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama empat lagi yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Terdahulu, barisan peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh mempersoalkan dan membantah tindakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari mengemukakan salinan pasport antarabangsa atas nama Kim Chol yang diserahkan oleh pihak polis untuk dikemukakan dan ditandakan sebagai bahan bukti perbicaraan.

Peguam Salim Bashir yang turut mewakili Thi Huong mempersoalkan, mengapakah pendakwaan hanya mengemukakan salinan, namun tiada penjelasan diberikan tentang apa yang terjadi kepada pasport asal mang­sa, selain hanya memaklumkan dokumen asal itu telah dikembalikan kepada pihak Kedutaan Korea Utara.

Salim menyatakan, meman­dangkan tiada sebarang bukti di­kemukakan untuk mengesahkan­ status pasport tersebut, maka dokumen itu tidak boleh ditandakan sebagai bahan bukti perbicaraan, selain ha­nya layak diletakkan sebagai ID (dokumen untuk pengecaman).

Nor Aidora Saedon
Nor Aidora Saedon

Katanya, keterangan se­kun­der dokumen hanya bo­leh diterima sekiranya per­untukan di bawah Seksyen 65 Akta Keterangan 1950 dipenuhi, selain keterangan sekunder mestilah disahkan me­lalui salinan dengan yang asal.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menerima cadangan untuk menandakan salinan pasport itu sebagai ID pada peringkat ini dan akan memutuskan perkara itu kemudian.

Mahkamah turut mende­ngar keterangan seorang ahli kimia di Seksyen Asid Deoksiribonukleik (DNA) Forensik Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon yang menganalisis barang-barang kes yang diserahkan secara beberapa pe­ringkat oleh Wan Azirul Nizam kepadanya.

Menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, hasil analisis beliau mendapati satu profil DNA wa­nita diperoleh daripada kesan darah pada tuala wanita bertanda K13 milik Thi Huong dan kesan DNA surih (DNA yang diperoleh melalui sentuhan) pada pullover baju sejuk bertanda K11.

“Saya katakan profil yang diperoleh pada K11 adalah berpadanan dengan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen darah bertanda K33A berlabel Thi Huong,” katanya.

Nor Aidora menjelaskan, bahagian yang diambil oleh beliau pada bahagian dalam pullover baju sejuk bertanda K11 yang akan bersentuhan dengan si pemakai di bahagian kolar dan bahagian ketiak.

Sementara itu saksi pendakwaan ke-11, Koperal Mohd. Nordin Mohd. Zain, 50, memberitahu, dia telah mengambil 134 keping gambar bedah siasat seorang lelaki di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 15 Februari lalu yang kemudian dimuat turun ke dalam cakera padat sebelum diserahkan kepada Wan Azirul Nizam keesokannya.

Saksi pendakwaan ke-12, Lans Koperal Ali Imran Rifin, 27, pula memberitahu pada pukul 2.30 petang, 13 Februari lalu, dia telah mengambil tiga keping gambar tempat kejadian di KLIA2 dan dua keping gambar barangan peribadi seorang lelaki di balai polis lapangan terbang itu.

Perbicaraan bersambung 24 Oktober ini dengan lawatan ke lokasi kejadian di KLIA.