Tertuduh, Zamzuri Abdul Ghaffar, 50, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM50,000 sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan perkenan dan pengampunan Sultan Pahang, seterusnya menghentikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pemberian Anugerah Darjah Kebesaran ‘Datuk Seri’ Negeri Pahang.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.

Zamzuri juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan iaitu menipu sehingga menyebabkan seorang pesara menyerahkan wang berjumlah RM50,000 bagi tujuan sama. Bagi kesalahan ini, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amira Sariaty Zainal didakwa dilakukan sekitar Bangi, 28 April tahun lalu.