Itu antara nasihat yang di­berikan seorang hakim Mah­kamah Tinggi di sini hari ini ketika menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang juruteknik kilang, Muhammad Safuan Mohd., 29, yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyokong dan memiliki pelbagai barang berkaitan kumpulan pengganas Daesh, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusannya berkata, per­buatan tertuduh yang menyokong dan memiliki barangan berkaitan pengganas itu jika tidak dibendung boleh memudaratkan keamanan negara.

“Saya harap kamu insaf dan jangan berdendam dengan sesiapa. Ini adalah kesalahan kamu sendiri yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan melafazkan sumpah setia melalui aplikasi Telegram ‘Gagak Hitam’ atas nama Abu Marwan Salaki di rumahnya di Jalan Matahari U5/102, Seksyen U5 (Panasu­ria), Petaling, Selangor pada pukul 3.29 pagi, 30 Mac 2016.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk diguna bagi me­lakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa memiliki 72 rakaman video, 19 ke­ping gambar dan 419 naskhah dokumen dalam telefon bimbit Lenovo miliknya yang berkaitan dengan Daesh di tempat letak kenderaan blok kediamannya, pada pukul 7 malam, 6 Oktober tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak me­lebihi tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barang ter­sebut.

Terdahulu, semasa membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Muhammad Safuan menangis teresak-esak meminta dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia datang daripada keluarga susah dan merupakan penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izhanudin Alias memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius dan boleh memberi mesej kepada masyarakat dan tertuduh sendiri.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan pertama dan tiga tahun bagi pertuduhan kedua serta berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh Muhammad Safuan ditangkap pada 6 Oktober tahun lalu.