Mohd. Ismail Shukri, 36, dalam keterangannya sewaktu perbicaraan peringkat bela diri sebelum ini mendakwa ketika ujian itu dilakukan, dia tidak boleh membuang air kecil dan rentetan itu, kawannya mengambil keputusan untuk memberikan separuh urinnya bagi menyelamatkan tertuduh.

Bagaimanapun pembelaan tertuduh itu ternyata gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan di Mahkamah Sesyen di sini dan sehubungan itu dia disabitkan bersalah atas pertuduhan memberi dirinya sendiri dadah berbahaya jenis morfin.

Bagi kesalahan kali ketiga itu, Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan sebatan dua kali dan memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Ismail didakwa melakukan kesalahan tersebut di tingkat 5, Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sentul di sini pada pukul 3.40 petang, 3 November 2017.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan sebatan tidak lebih tiga kali.

Terdahulu, ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia bakal berkahwin tahun depan dan ingin memulakan hidup baharu, bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman berat dengan mengambil kira sembilan rekod kesalahan lampau milik tertuduh yang kesemuanya berkaitan dadah.

Sebanyak lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes tersebut. - UTUSAN ONLINE