Clare yang memakai baju berwarna hitam dan berbintik putih dilihat memasuki lobi kompleks mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum terus menuju ke lif.

Wanita itu meninggalkan pekarangan kompleks mahkamah pada pukul 12.30 tengah hari bersama Khairuddin.

Kehadiran Clare di kompleks mahkamah menimbulkan tanda tanya sama ada beliau hadir bagi mengikuti prosiding pendengaran permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan perintah sekatan.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib melalui peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakilinya bagi mendapatkan perintah sekatan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapi.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tujuh pertuduhan dikaitkan dengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd., empat tahun lalu. - UTUSAN ONLINE