Mohd. Fadil Zai­nan, 41, pada mulanya memberitahu mahkamah bahawa dia tidak membunuh isterinya namun setelah jurubahasa menjelaskan semula pertuduhan itu, lelaki terbabit mengakui memahami pertuduhan yang dibacakan kepada­nya di hadapan Majistret Mohd. Hairo Jemain.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, ba­pa kepada empat anak itu didakwa dengan niat membunuh Noor Waheedah Abdul Wahid, 38, di sebuah rumah di Jalan Matang dekat sini kira-kira pukul 8.30 malam, 11 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah me­netapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 11 Januari lalu, Noor Waheedah yang cedera setelah dipukul suaminya meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat pendarahan dalam otak.

Mangsa dikatakan dipukul sehingga tidak sedarkan diri di rumah mereka setelah disyaki mempunyai hubungan rapat dengan lelaki lain.

Wanita malang itu pada mulanya dihantar ke Hospital Taiping menggunakan ambulans sebelum dirujuk ke HRPB namun disahkan meninggal dunia dua hari selepas itu pada pukul 9.30 malam.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan di kepala akibat trauma tumpul.