Hakim Zainal Azman Abdul Aziz membuat keputusan tersebut ke atas Maslizan Muhamad, 36, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh didakwa membunuh Halimah Taib yang ketika itu berusia 78 tahun dengan menggunakan parang di hadapan sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buloh, di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Sepanjang perbicaraan, seramai 22 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Sementara itu dalam mahkamah yang sama, seorang lelaki dihukum penjara 13 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine, dua tahun lalu

Mohd. Hakimin Kamarudin, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Zainal Azman.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Hakimin didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 96.88 gram di dalam sebuah kereta Perodua Alza di Plaza Tol Chukai, Kemaman kira-kira pukul 6.30 petang pada 28 Julai 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Zainal Azman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh tangkapan pada 28 Julai 2016.

Dalam penghakimannya, Zainal Azman berkata, kes berkaitan dadah merupakan kesalahan serius sekali gus menasihati tertuduh supaya insaf dengan kesilapan yang dilakukannya.

“Di Malaysia kita dianugerahkan cuaca yang elok dan banyak pekerjaan boleh dibuat, jadi janglah memperjudikan nyawa dengan terlibat dalam aktiviti dadah ini,” katanya.

Seorang lagi tertuduh yang juga teman wanita kepada Mohd. Hakimin, Wan Hasnah Wan Salleh, 32, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut. - UTUSAN ONLINE