Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan anak guamnya mengalami konjunktivitis yang dipercayai dikesan malam semalam.

"Saya difahamkan dari perbualannya dengan doktor pagi ini bahawa konjunktivitis anak guam saya bermula semalam dan ekoran itu, beliau diberi cuti sakit selama tiga hari sehingga Jumaat ini," katanya.

Menurut peguam tersebut, satu salinan surat cuti sakit dan gambar mata Ahli Parlimen Pekan itu juga diterima pagi ini dan ditunjukkan kepada pihak pendakwaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaran mengesahkan menerima salinan berkenaan dan tidak membantah agar perbicaraan kes tersebut ditangguhkan.

"Jangkitan yang dialami tertuduh agak teruk. Berdasarkan keadaan kesihatan itu, pendakwaan tidak membantah usul penangguhan perbicaraan ini apatah lagi konjunktivitis boleh berjangkit," katanya.

Perbicaraan hari ke-52 hari ini sepatutnya diteruskan dengan sesi pemeriksaan utama terhadap Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, 54.

Saksi pendakwaan ke-57 itu juga adalah pegawai penyiasat bagi kes berkenaan.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kemudian menangguhkan perbicaraan dan menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International. - UTUSAN ONLINE.