Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng untuk menangguhkan perbicaraan kes itu sementara me­nunggu keputusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan menetapkan 25 April ini untuk pengurusan kes.

Pada 7 Mac lalu, mahkamah itu menolak permohonan Guan Eng dan Li Koon untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Guan Eng dan Li Koon memfailkan permohonan itu pada Janu­ari tahun ini.

Seksyen 62 itu menyebut bahawa selepas pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berdasarkan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah, tertuduh hendaklah, sebelum perbicaraan bermula, menye­rahkan dokumen-dokumen berikut iaitu (a) pernyataan pembelaan dan (b) salinan apa-apa dokumen yang boleh dikemukakan sebagai sebahagian daripada keterangan bagi pembelaan.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung pe­­nukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng dituduh sebagai penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya mendapatkan su­a­pan untuk dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan pe­nu­ka­­ran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Guan Eng, 57, didakwa mela­kukan kesalahan itu semasa mem­­pengerusikan mesyuarat Ja­watankuasa Perancang Negeri Pu­lau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan KOMTAR pada 18 Julai 2014.

Beliau didakwa mengikut Seks­yen 23 Akta SPRM 2009 yang mem­peruntukkan hukuman pen­jara maksimum sehingga 20 ta­hun dan denda tidak kurang li­ma kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No. 25, Jalan Pinhorn di sini pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No. 25, Jalan Pinhorn di sini pada 28 Julai, 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Li Koon selaku bekas pemilik banglo itu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan banglo tersebut di bawah harga pasaran pada tempat dan tarikh yang sama.

Ahli perniagaan wanita itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 165, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita, pihak­nya telah memfailkan notis rayu­an di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah itu yang menolak permohonan anak guamnya.

“Sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan ia memberi kesan terhadap mana-mana pembelaan semasa perbicaraan. Dalam keadaan itu lebih elok jika Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan isu itu sebelum kes ini berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud berkata, pihaknya bersetuju dengan permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah itu selepas mempertimbangkan semua faktor. – BERNAMA