Perintah tersebut dikeluar­kan oleh dua majistret berlainan selepas mendapati pengakuan bersalah Helmee Othman, 28, tidak selamat untuk diterima.

Terdahulu, di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman, duda anak empat itu mengaku bersalah mencemarkan Surau Sabilul Huda dengan meletakkan berhala agama Buddha serta Hindu sehingga mendatangkan keaiban kepada agama Islam di antara pukul 4 petang, 20 Februari dan 2.45 petang, 23 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Sementara itu di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin, Helmee didakwa mencuri patung sembah­yang di sebuah rumah di Lebuh Pendamar Indah 1, Pandamaran di antara pukul 4 petang hingga 9.30 malam, 20 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Peguam Nur Aida Md. Zainuddin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menyemak dahulu kewarasan dan akal anak guamnya sebelum mene­rima pengakuan bersalah itu.

“Orang yang waras serta normal tidak melakukan perbuatan yang sensitif itu iaitu (melibatkan) kepercayaan agama. Mungkin anak guam saya mengalami halusinasi dan difahamkan menerima arahan daripada mimpi. Saya percaya mahkamah mempunyai bidang kuasa di bawah Seksyen 342 (1) Kanun Prosedur Jenayah untuk mengarahkan tertuduh melalui pemeriksaan psikiatri di hospital,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari menye­rah­kan kepada budi bicara mah­kamah berhubung permintaan pihak pembelaan itu dan me­nya­takan tidak ada sebarang bukti yang boleh menyokong fakta bahawa tertuduh me­ngalami masalah mental.

Mahkamah, selepas menolak pengakuan bersalah tertuduh, mengarahkan lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak selama sebulan untuk pemeriksaan. Kes akan di­sebut semula pada 27 Mac ini.