Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Misnan Saari, 57, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai sarjan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju (ketika kejadian) didakwa memperoleh  suapan wang tunai RM1,500 daripada Muhammad Shah Radhi Hazvee sebagai dorongan untuk tidak menyebabkan lelaki itu dituduh di mahkamah atas kesalahan dadah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen Minyak Shell, Jalan Ipoh, di sini antara pukul 2.50 petang dan pukul 3 petang, 30 September 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SPRM, Afiqah Ab. Razak manakala Misnan diwakili peguam, Mohd. Shahrullah Khan. -UTUSAN ONLINE