Lau Mee Ching, 49, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap enam keping invois berjumlah RM15,989.45 iaitu wang hasil jualan perniagaan yang telah dibayar oleh pelanggan, Jensen Car Air-Conditioned Service dengan tidak menyerahkan wang itu kepada majikannya, Aw Soon Loy, 57, untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat Sinhert Ac Parts Sdn. Bhd.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di Sinhert Ac Parts di Jalan Rimbunan Raya, Laman Rimbunan Kepong, di sini antara pukul 12 tengah malam, 28 Februari dan pukul 11.59 malam, 19 April tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan sebelum itu mencadangkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan namun Mee Ching yang tidak diwakili peguam pula merayu jumlah tersebut dikurangkan atas alasan dia perlu menanggung ibu yang sakit dengan pendapatan RM1,500 sebulan sebagai pembantu kedai makan.

Mahkamah kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. - UTUSAN ONLINE