Chin Wai Leong, 41, Ng Poh Weng, 67, Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 65, dan Liew Chee Wah, 63, gagal menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM1 juta setiap seorang, selepas mahkamah berkenaan hari ini menolak permohonan tersebut serta permohonan untuk mendapatkan jaminan.

Syarikat pelaburan jongkong emas itu yang didenda RM2 juta kerana menerima deposit tanpa lesen, juga gagal menangguhkan pelaksanaan denda berkenaan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Datuk Umi Kalthum Abd. Majid dan Puan Seri Zaleha Yusof berpuas hati tiada keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan mahupun jaminan diberikan.

Kuorum itu menolak hujahan pemohon berhubung isu ketidaksahan prosiding rayuan oleh panel sebelumnya serta isu berhubung tahap kesihatan pemohon tertentu yang didakwa wajar jaminan dibenarkan.

“Oleh kerana sabitan dan hukuman telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, kami berpendapat pelaksanaan hukuman harus diteruskan melainkan terdapat perintah agar ia diketepikan,’’ ujar Hakim Tengku Maimun.

Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan memberitahu pemberita bahawa mahkamah akan mendengar permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan terlebih dahulu sebelum permohonan induk itu didengar.

Pembelaan menyatakan, keputusan rayuan itu jarang-jarang berlaku dalam keadaan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi membebaskan mereka namun Mahkamah Rayuan mensabit dan menghukum mereka selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Pada 21 Februari lalu, satu panel lain Mahkamah Rayuan memerintahkan mereka menjalani hukuman serta-merta iaitu penjara lima tahun dan denda RM1 juta setiap seorang bagi kesalahan mengambil deposit tanpa lesen.

Keempat-empatnya turut diperintah menjalani hukuman penjara tiga tahun atas 154 tuduhan melakukan pengubahan wang haram melibatkan urus niaga bernilai lebih RM200 juta.

Keempat-empatnya disabitkan atas 154 tuduhan pengubahan wang haram di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di ibu negara di antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Mereka dan syarikat itu juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di ibu negara di antara November 2008 dan Julai 2009.