Tertuduh, Mahadzir Jaafar, 54, didakwa memperdaya prinsipal Markas Latihan Tentera Darat menerusi satu dokumen iaitu pesanan kerajaan bernilai RM19,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Muzium Tentera Darat Port Dickson pada tahun 2014 semasa memegang jawatan Pegawai Staf 1 Sejarah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mahadzir didakwa memberi butiran palsu dengan membuat pengesahan penerimaan bekalan perkhidmatan berhubung pembelian terus bagi membekal bahan mentah dan alat bantu diri sedangkan pembekalan itu tidak dibuat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Mahadzir bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Leftenan Kolonel Hanif Zakaria dan Azman Zakaria.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Madihah menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE