Hasanah

Waran tangkap berkenaan dikeluarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mahadhir Mohd. Khairudin membuat permohonan supaya satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Hasanah.

“Tertuduh tidak hadir termasuk dua individu yang menjadi penjaminnya hari ini serta tiada apa-apa arahan dari mahkamah berhubung ketidakhadiran mereka. Mohon satu waran tangkap dikeluarkan,” kata Mahadhir.

Bagaimanapun, peguam Nur Aifaa Mohd. Zain yang mewakili Hasanah memohon maaf kepada mahkamah dan memberitahu anak guamnya tidak hadir kerana beliau gagal memaklumkan berhubung prosiding hari ini.

“Saya memohon maaf atas kesilapan saya sebagai peguam, saya harus memaklumkan anak guam saya untuk hadir tetapi saya gagal berbuat demikian. Saya berharap anak guam saya tidak menerima sebarang kesan atas tindakan saya,” kata peguam itu.

Mahkamah bagaimanapun mengeluarkan waran tangkap itu dan menetapkan 26 Jun ini bagi prosiding sebutan waran tangkap dan notis kepada penjamin.

Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) didakwa telah melakukan pecah amanah ke atas wang sebanyak AS$12.1 juta (RM50.43 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di  Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, JPM,  Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan denda. - UTUSAN ONLINE.