Tertuduh yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan dengan anaknya yang berusia 10 tahun yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengannya.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Wira Mergong, di sini pada 13 April hingga 15 April 2016.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun beserta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memutuskan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana kesalahan tersebut serius selain dikhuatiri mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Jun ini bagi proses serahan dokumen dan lantikan peguam.

Dalam kejadian berkenaan, ibu mangsa membawa anaknya membuat laporan polis selepas kanak-kanak itu mengadu perbuatan tersebut kepadanya.

Selain itu, lelaki terbabit turut memiliki dua rekod lampau membabitkan kes menyebabkan kematian dan pecah rumah yang telah dihukum sebelum ini. - UTUSAN ONLINE