RAFIZI RAMLI

Mereka didakwa melanggar akta tersebut kerana mendedahkan maklumat akaun bank tiga syarikat yang terlibat dalam projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Perbicaraan itu kemudian akan bersambung selama tiga hari bermula 26 Mei ini.

Yang turut dibicarakan ialah bekas kerani (bahagian kredit) Public Bank Bhd. cawangan Jinjang, Johari Mohamad, 44, yang didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Rafizi melakukan perbuatan tersebut.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh tersebut pada sebutan kes berkenaan hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Haziq Dhiyauddin Razali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Michelle Yesudas.

Semalam, Mah­kamah Persekutuan membatalkan rayuan Rafizi, 38, bagi mengetepikan tuduhan tersebut dan mengarahkan agar kes itu dihantar semula ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan.

Keputusan itu dibuat setelah Peguam Kanan Persekutuan, Nahra Dollah yang mewakili pendakwaan berhujah bahawa berdasarkan nas undang-undang yang pernah diputuskan sebelum ini mendapati kes-kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuannya akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Naib Presiden PKR itu memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Mei 2013 yang menolak rayuannya untuk mengetepikan tuduhan tersebut dengan alasan rayuan beliau tidak mempunyai merit.