Bayaran itu didakwa di­minta tertuduh yang juga pegawai kanan polis di Jabatan Narkotik Bukit Aman sebagai balasan menyelesaikan kes pengedaran dadah dua tahun lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh hari ini menjadikan jumlah pertuduhan yang dihadapi lelaki berke­naan adalah sebanyak lima pertuduhan rasuah berjumlah RM2.85 juta.

Chee Liang, 36, yang memakai pakaian biru gelap bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Chee Liang didakwa memin­ta rasuah sebanyak RM1.5 juta daripada Viktor Goh, 38, untuk diri sendiri sebagai dorongan menyelesaikan kes lelaki itu yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di sebuah bilik Lokap Berpusat Polis Shah Alam, kira-kira pukul 11 pagi, 10 Mac 2017.

Dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin ke atas Chee Liang dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 April depan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang Penolong Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima suapan RM9,000, tiga minggu lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Khairul Nizam Abu Bakar terhadap suspek berusia 38 tahun itu.