Raus dilantik sebagai hakim tambahan bermula pada 4 Ogos 2017 bagi membolehkannya memegang jawatan Ketua Hakim Negara manakala Zulkefli pula dilantik sebagai hakim tambahan bermula 28 September tahun lalu untuk memegang jawatan tersebut.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh berhujah, pelantikan itu sah kerana Ketua Hakim Negara (ketika itu), Tun Arifin Zakaria mempunyai budi bicara menasihati Yang di-Pertuan Agong melantik mereka sebagai hakim tambahan selepas persaraan beliau pada 31 Mac tahun lalu.

Hujah beliau, tafsiran lebih menyeluruh terhadap Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, Arifin boleh pada bila-bila masa (ketika tempoh perjawatannya) melaksanakan budi bicara menasihati Seri Paduka berhubung pelantikan kedua-duanya.

Menurut Amarjeet, Arifin merupakan pihak yang paling sesuai menasihati Seri Paduka kerana beliau mempunyai pengetahuan dalaman dan pemahaman terbaik berkaitan keperluan untuk melantik hakim Mahkamah Persekutuan.

Hujah beliau lagi, ini bermakna, Perkara 122(1A) membenarkan Ketua Hakim Negara yang akan bersara menasihati Seri Paduka bahawa Raus dan Zulkefli yang akan mencapai usia persaraan wajib dalam tempoh beberapa bulan lagi (ketika itu), dilantik sebagai hakim tambahan untuk tempoh tertentu.

Beliau selanjutnya berhujah, Seri Paduka seterusnya menerima nasihat Perdana Menteri bahawa Raus dan Zulkefli yang telah dilantik sebagai hakim tambahan, dilantik memegang jawatan masing-masing sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Majlis Peguam berhujah, lanjutan tempoh perjawatan Raus dan Zulkefli masing-masing sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, tidak berperlembagaan.

Hujah beliau, keputusan untuk melantik kedua-dua hakim kanan itu ke jawatan tersebut dibuat sebelum mereka bersara pada 4 Ogos 2017 dan 28 September tahun sama walhal ketika itu mereka masih memegang jawatan masing-masing.

Hujahnya, tindakan Arifin itu akan menyebabkan kebanjiran pelantikan hakim tambahan, menyekat proses kenaikan pangkat hakim sedia ada dan menjadi amalan yang tidak sihat selain meremehkan umur persaraan wajib hakim 66 tahun dan enam bulan.

Mahkamah tertinggi negara mendengar penghujahan sebelum memutuskan empat persoalan undang-undang yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi dalam saman pemula oleh Majlis Peguam bagi menentukan kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli ke jawatan masing-masing.

Panel tujuh hakim diketuai oleh Tan Sri Hasan Lah kemudian menangguhkan keputusan pada satu tarikh lain selepas mendengar penghujahan panjang lebar badan itu, Jabatan Peguam Negara dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) manakala Persatuan Peguam Muslim Malaysia bertindak selaku pencelah.

Yang turut bersidang, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Majlis Peguam memfailkan saman pemula pada 10 Oktober tahun lalu untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli tidak sah dan berperlembagaan kerana kedua-duanya melepasi umur persaraan mandatori 66 tahun, enam bulan.

Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding dan merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kesahan pelantikan kedua-dua hakim kanan tersebut.