Anwar memberitahu, beliau telah menasihatkan Abdullah Sani yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR agar membuat pembetulan itu secepat mungkin kerana dakwaan tersebut tidak berasas.

Abdullah Sani sebelum ini dilaporkan dalam satu acara kempen ‘Reformasi 20 tahun’ mendakwa Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri jika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menewaskan Rafizi Ramli dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR.

Abdullah Sani mendakwa Azmin dan Daim berpakat untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan.

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas kes samannya terhadap bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail, TV3 dan Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) atas dakwaan memfitnah beliau dengan mengaitkannya terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Kes itu ditangguhkan ke Jumaat ini selepas Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan terdapat usaha untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah. - UTUSAN ONLINE