Perintah reman selama empat hari bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd. Anuar Ostadi terhadap suspek berusia 59 tahun terbabit. 

Suspek direman sehingga 15 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

Suspek ditahan selepas hadir ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang untuk dirakamkan percakapannya petang semalam.

Difahamkan, suspek mengajar di sebuah sekolah berasrama penuh di negeri jiran membawa remaja perempuan berusia 16 tahun berkenaan bercuti ke Melaka pada 2 November tahun lalu.

Tindakan remaja berkenaan yang bermalam di sebuah hotel dikatakan tanpa pengetahuan ibu bapanya. 

Kedua-dua mereka dikatakan keluar bersiar-siar di bandar raya ini sebelum terserempak dengan seorang guru dari sekolah sama pada keesokan harinya. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan perintah reman tersebut.  - UTUSAN ONLINE