Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy yang mewakili Jabatan Peguam Negara memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita selepas menghadiri pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Global Royalty Trading SAL selaku pihak plaintif memfailkan saman itu pada 26 Jun lalu dengan menamakan Rosmah sebagai defendan tunggal. 

Menurut Narkunavathy, AG akan mengemukakan permohonan untuk mencelah atas alasan, semua barang kemas yang dirampas adalah milik Kerajaan Malaysia dan harta tersebut dibeli menggunakan wang yang dicuri.

Katanya, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 27 Julai ini. 

Rosmah akan diwakili oleh peguam Datuk Geethan Ram. 

Dalam pernyataan tuntutan pihak plaintif menyatakan, syarikat itu membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan kaya dari seluruh dunia. 

Global Royalty Trading SAL mendakwa, kebiasaannya pihaknya akan menyerahkan barang kemas kepada pelanggan tetapnya itu untuk dinilai dan akan membeli barangan yang dipilih olehnya. 

Pembayaran sama ada dibuat sendiri atau melalui pihak ketiga dan memulangkan baki barang kemas yang tidak dipilih kepada pihak plaintif.

Rosmah dalam surat bertarikh 22 Mei lalu mengesahkan, menerima 44 barang kemas itu namun kini  tidak lagi berada dalam miliknya kerana telah disita oleh polis. 

Sebagai pengirim, pihak plaintif mengekalkan hak miliknya  ke atas barang kemas yang telah disita akan dilucut hak oleh pihak ketiga yang tidak berkaitan dengan perjanjian antara plaintif dan defendan. 

Sehubungan itu, pihak plaintif menuntut enam perintah perisytiharan antaranya, sebagai pemilik sah ke atas barang kemas itu dan harta tersebut tidak berpindah kepada defendan dan perintah mandatori supaya barang kemas dipulangkan kepada pihak plaintif.

Secara alternatif, jika barang berkenaan tidak boleh dituntut atau dipulangkan secara penuh atau sebahagian kepada pihak plaintif, maka pihak defendan bertanggungjawab membayar semula kepada pihak plaintif, kos barang-barang kemas RM59,831,317.40 (AS$14,787,770) mengikut kadar Maybank Bhd. pada 13 Jun lalu dan faedah lapan peratus. -UTUSAN ONLINE