Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan tertuduh terhadap hukuman penjara lapan bulan.

Panel hakim yang diketuai Hakim Umi Kalthum berkata, mahkamah sebulat suara mengetepikan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengantikannya dengan denda RM1,800.

Mahkamah juga menetapkan Mohd. Fakhrulrazi dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Dengan keputusan itu, Mohd. Fakhrulrazi terselamat daripada hilang kelayakan sebagai ADUN Selangor.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menyatakan seseorang disabitkan atas suatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lebih satu tahun atau denda lebih daripada RM2,000 boleh hilang kelayakan sebagai ADUN.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Februari 2018 mengekalkan sabitan kes fitnah dan hukuman penjara lapan bulan Mohd. Fakhrulrazi berhubung kenyataannya ketika perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah, menolak rayuan balas tertuduh dan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2016.

Mahkamah Sesyen mengenakan hukuman penjara lapan bulan terhadap Fakhrulrazi selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pada 8 September 2015, Mohd. Fakhrulrazi yang merupakan bekas bendahari Dewan Pemuda Pas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut di hadapan Kompleks Sogo, No. 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada pukul 4.30 petang, 21 Februari 2015.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dikendalikan oleh Tetralina Ahmed Fauzi manakala Mohd. Fakhrulrazi diwakili peguam Ariff Azami Hussein. - UTUSAN ONLINE