Maklumat tersebut dinyatakan melalui bahasa isyarat dengan cara menganggukkan kepalanya ketika ditanya oleh seorang pegawai perubatan IJN bernama Asyraf sama ada dia dipukul dalam kejadian rusuhan tersebut yang membawa kecederaan parah kepadanya.

Saksi ke-14 inkues kematian Muhammad Adib, Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib yang juga Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasis IJN membe­ritahu Mahkamah Koroner hari ini,

MOHAMED EZANI MD. TAIB
MOHAMED EZANI MD. TAIB 

perkara itu dimaklumkan sendiri Asyraf kepadanya pada 25 Disember tahun lalu ketika mangsa sedang menjalani rawatan.

“Asyraf yang merupakan salah seorang individu dalam pasukan pemantauan. Ketika itu, Asyraf ada bertanya kena pukul dan Muhammad Adib menganggukkan kepalanya. Itu sahaja dia beritahu dan saya menyarankan supaya Asyraf memaklumkan kepada peguam IJN untuk proses undang-undang.

“Saya juga ada berkomunikasi dengan pesakit pada hari kelima atau keenam tapi mangsa belum stabil. Sepanjang rawatan, dia tidak boleh bercakap tetapi memahami arahan mudah yang diberikan dan menulis di papan putih,” katanya di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan Pegawai Pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin berhubung punca kematian Muhammad Adib, Dr. Mohamed Ezani memberitahu, anggota bomba itu mengalami Sindrom Kesukaran Pernafasan Akut (ARDS) yang berkaitan dengan kegagalan pelbagai organ.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr. Mohamed Ezani memberitahu, keadaan Muhammad Adib pada 17 Disember itu tidak akan sembuh kerana paru-paru sudah cedera akibat beberapa tulang rusuk kanannya patah.

“Ada sesuatu objek keras yang memukul dada hingga boleh menyebabkan trauma dada tetapi apa objek keras itu saya tidak dapat memberikan spekulasi.

“Muhammad Adib dirawat lebih kurang 20 hari dan mema­suki hari keempat dirawat, fungsi jantungnya nampak sudah pulih. Saya dapat melihat ke­adaannya ada peningkatan tetapi masih kritikal sebab buah pinggangnya gagal berfungsi dan memerlukan rawatan dialisis.

“Namun, keadaan kesihatannya mula merosot pada 15 Di­sember tahun lalu dan kira-kira pukul 9 malam tekanan darah menurun dan kami perlu memasang semula sistem Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) iaitu mesin khas bagi menyokong paru-paru dan jantung mangsa,” ujarnya.