Muhammad Ashraff Baruji, 27, berkata, dia berkomunikasi pada sebelah malam dengan Muhammad Adib selepas selesai sesi fisioterapi.

Menurut Pembantu Pegawai Pembedahan Institut Jantung Negara (IJN) itu, dia bertanyakan kepada Muhammad Adib berhubung kejadian pada malam itu, namun pada mula­nya anggota bomba itu menggelengkan kepala.

Katanya, dia yang tidak mahu memaksa hanya meminta Muhammad Adib bercerita jika sudah bersedia dan ketika hendak berlalu pergi, anggota bomba itu menarik lengan baju kirinya serta memberi isyarat hendak menulis.

“Saya ada bertanyakan, adakah dia kena tarik dan de­ngan menggunakan tangan kiri dia menunjukkan isyarat dia ditarik pada bahu kirinya. Selepas itu, saya ada bertanya jatuh ke? Muhammad Adib menggelengkan kepala serta membuat isyarat memusing-musingkan pergelangan tangan kirinya.

“Saya bertanya lagi Adib inga­t Adib kena pukul ke? Dia menganggukkan kepalanya. Selain itu, saya juga bertanya sedar tak sekarang berada di mana dan dia menunjukkan isyarat ke bawah (seperti di sini) dan mula menggerakkan kaki dan tangan. Kemudian, saya beri­tahu kita sambung nanti, Adib berehat dulu sebelum saya pun beredar,” katanya di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Ash­raff memberikan keterangan selepas ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya selaku Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Menjawab pertanyaan sama ada dia ada memberitahu perkara tersebut kepada sesiapa, Muhammad Ashraff mengatakan tidak kerana ia adalah rahsia antara pesakit dan pasukan perubatan.

“Saya hanya maklumkan kepada Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib. Saya tidak ingat dengan tepat sama ada Hari Krismas atau malam Krimas,” ujarnya.

Menceritakan lanjut, Muhammad Ashraff berkata, anggota bomba itu juga turut me­nunjukkan bahawa dia sakit di bahu kanan ketika membuat latihan pernafasan.