Datuk C. Anand Raja, 44, yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan menipu bagi kes lain, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut pertuduhan, Anand Raja didakwa telah memperdaya seorang pesara syarikat swasta, Mohd. Yusof Abdul Manan, 60, untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh menyelesaikan hutang pinjaman kenderaan di Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank).

Perbuatan yang dilakukan tertuduh itu mendorong mangsa memasukkan RM7,630 ke dalam akaun Public Bank milik isterinya, A. Premalatha walhal mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak ditipu oleh tertuduh di Public Bank cawangan Kajang, dekat sini, pukul 10.40 pagi, 10 Ogos 2016.


Anand Raja yang merupakan bekas peguam itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.


Mahkamah turut memerintahkan bapa dua cahaya mata itu yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman penjara tersebut berkuat kuasa hari ini dan penjara tiga bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan serius selain tertuduh mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama iaitu menipu dan menggunakan modus operandi serupa namun Anand Raja merayu hukuman penjara dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga serta menjaga ibu bapanya yang uzur.


Mengikut fakta kes, pada 7 Ogos 2016, mangsa yang juga pengadu dalam kes ini telah mengiklankan keretanya jenis Honda Accord 2.0 di laman web mudah.com untuk dijual secara sambung bayar. Dua hari selepas itu, Anand Raja telah menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan menyatakan minatnya untuk membeli kereta mangsa dan menyuruh untuk berjumpa dengannya.


Tertuduh telah memperkenalkan dirinya sebagai Datuk Anand dan setelah melihat kereta mangsa, tertuduh bersetuju untuk membeli kereta itu dengan harga RM104,000 lalu menyuruh pengadu untuk pergi ke rumahnya bagi menguruskan dokumen-dokumen berkaitan penjualan kereta sebelum kereta itu diserahkan kepada tertuduh.


Pada hari yang sama, mangsa telah ke rumah tersebut dan tertuduh telah memberi satu bil jualan kepada mangsa untuk ditandatangani malah tertuduh juga telah meminta mangsa membayar baki pinjaman wang kereta sebanyak RM7,630 kerana baki pinjaman kereta itu adalah melebihi harga jualan kereta tersebut.

Mangsa juga telah menyerahkan kepada tertuduh dokumen untuk urusan tukar milik kereta antara mereka berdua. Pada 10 Ogos tahun sama, mangsa telah memasukkan wang RM7,630 ke dalam akaun milik isteri tertuduh. Tertuduh telah memberitahu mangsa bahawa dia akan menguruskan urusan penjualan kereta tersebut.


Pada 15 Ogos 2016, mangsa telah menelefon pihak bank bahagian pinjaman untuk mengetahui status pinjaman kereta sama ada telah selesai atau belum namun dia mendapati pinjaman keretanya masih belum diselesaikan lagi.


Mangsa kemudiannya menghubungi tertuduh namun diberitahu urusan pembelian kereta ini akan mengambil mangsa. Merasakan dirinya telah ditipu, mangsa terus membuat laporan polis.