Kesemua 57 tertuduh terbabit sebelum ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membolehkan mereka diikat jamin.

Seramai 42 tertuduh dijatuhi hukuman tersebut setelah masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Akta Pertubuhan 1966 yang dibacakan dalam bahasa Tamil kepada mereka di hadapan Hakim Datuk Abd. Halim Aman dari Mahkamah Shah Alam.

Sejumlah 14 lagi tertuduh mengaku tidak bersalah manakala seorang tertuduh dilepas tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kes terhadapnya.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan terhadap kesemua tertuduh yang berumur antara 23 tahun dan 63 tahun.

Hakim Abd. Halim memutuskan demikian selepas Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan, kesemua pertuduhan terhadap mereka sebelum ini mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 360 Devan’ telah dipinda kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Bagi pertuduhan pindaan, mereka didakwa menjadi anggota ‘Geng 36’ yang merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang di MV Empayer Sdn. Bhd., No. 1-B, Jalan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, Cheras, di sini antara 2013 dan 2017.

Pertuduhan pindaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Abd. Halim sempat menasihati kesemua tertuduh agar insaf ekoran mereka sudah berumur dan perlu menanggung keluarga masing-masing.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap. Kebanyakan tertuduh telah direman lebih dari setahun.

Terdahulu, Hakim Abd. Halim memerintahkan 14 tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan asal mereka di bawah SOSMA dan kes mereka akan diambil alih oleh majistret.

Majistret Fadzilatul Isma Refngah yang mengambil alih tugas tersebut kemudian membenarkan 12 tertuduh yang diwakili peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala dua lagi tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana peguam mereka tidak hadir. 

Mahkamah menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan kes tersebut di Mahkamah Majistret Kajang.

Disebabkan isu keselamatan, prosiding dijalankan di Kompleks Penjara Kajang apabila sebuah bilik mesyuarat (mes pegawai kanan) diubah suai menjadi mahkamah terbuka yang menyerupai bilik mahkamah sebenar.

Ini merupakan kes yang pertama kali dibicarakan di mahkamah khas di Kompleks Penjara di Semenanjung kerana sebelum ini kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah telah diadakan di Penjara Pusat Kota Kinabalu pada 2016.

Terdahulu, ahli keluarga kesemua tertuduh dan para pengamal media ditempatkan di sebuah dewan bagi mengikuti prosiding perbicaraan menerusi tayangan projektor.

Kawalan ketat dijalankan oleh pegawai-pegawai penjara sebelum ahli keluarga dan pengamal media memasuki dewan berkenaan.

Pengamal media hanya dibenarkan untuk membawa buku dan alat tulis serta dilarang untuk membawa masuk sebarang telefon bimbit mahupun gajet ke dalam dewan berkenaan.

Jurugambar dilarang masuk ke kawasan dewan berkenaan.