Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah selaku pegawai pengendali berkata, antara saksi yang akan dipanggil ialah tujuh saksi profesional terdiri daripada enam pegawai per­u­batan dan seorang pegawai penyiasat kes.

MUHAMMAD ADIB
MUHAMMAD ADIB 

Di hadapan hakim Rofiah Mohamad yang bertindak sebagai Koroner, Hamdan memaklumkan, saksi pegawai peru­batan ter­sebut merupakan doktor yang merawat Muhammad Adib di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pakar forensik.

Saksi selebihnya pula jelas beliau terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, ahli keluarga dan juga polis.

Dalam pada itu, Mahkamah Koroner juga menetapkan in­kues akan berlangsung selama 44 hari melibatkan tiga fasa prosiding dengan fasa pertama bermula pada 11 hingga 28 Februari, fasa kedua pada 1,4,5 dan 19 hingga 29 Mac manakala fasa ketiga pada 1 hingga 12 April.

Pada masa sama, Rofiah juga mengarahkan saksi profesional dan pegawai penyiasat memberi keterangan dalam bentuk penyataan saksi, yang mana membolehkan pihak-pihak ber­­kepentingan dan koroner untuk bertanya lanjut.

Rofiah juga membenarkan rakaman video yang tular di laman sosial berkaitan insiden tersebut ditayangkan seperti dimohon pegawai pengendali, namun peralatan seperti projektor perlu dibawa sendiri.

Selain itu, Rofiah membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai pemerhati sepanjang prosiding inkues, namun menetapkan 31 Januari untuk mendengar hujahan peguam Siti Kassim yang mewakili Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman.

Sementara itu, Cyrus Tui Foo Woei yang mewakili Majlis Peguam turut memohon menjadi peguam pemerhati dalam in­kues itu atas alasan mempu­nyai kepentingan, tetapi keputusan terhadap permohonan itu akan diputuskan pada hari yang sama, selepas penghujahan.

Muhammad Adib yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember lalu cedera parah selepas dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini pada 27 November lalu.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di SJMC, sebelum dipindahkan ke IJN tetapi akhirnya meninggal dunia pada 17 Disember lalu.