Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang pemandu lori, M. Yuvaraja; tukang gunting rambut, R. Subramaniam dan kelindan lori, S. Sangkar selepas mendapati pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan.

“Keterangan pembelaan ketiga-tiga tertuduh adalah penafian kosong, tidak konsisten dan difikirkan kemudian. Ketiga-tiga tertuduh mendakwa mereka ada hubungan rapat dengan mangsa bagaimanapun berdasarkan keterangan mereka di mahkamah, mereka tidak mengetahui umur dan pekerjaan mangsa itu,” katanya.

Mahkamah memerintahkan Yuvaraja dan Subramaniam masing-masing didenda RM15,000 dan sekiranya gagal bayar boleh dipenjara dua tahun manakala Sangkar didenda RM10,000 gagal bayar penjara setahun.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun (ketika kejadian) bagi maksud eksploitasi seks di sebuah premis di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, di sini kira-kira pukul 1.30 petang, 14 Ogos 2015.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan ketiga-tiga tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dalam masa 14 hari namun mereka masih perlu membayar denda tersebut hari ini.

Jaminan terhadap mereka dinaikkan kepada RM20,000 dengan seorang penjamin setiap seorang serta syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah dan lapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai. -UTUSAN ONLINE