Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas Siti Syakirah Mukhtar dari Pusat Jagaan Ummi Insyirah manakala pengusaha Pusat Jagaan Qaseh Iman, Nurul Huda Ramli pula didenda sebanyak RM2,000.

Kedua-dua mereka yang masing-masing berusia 34 tahun mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Siti Syakirah didakwa mengendalikan Pusat Jagaan Ummi Insyirah di Taman Samarinda di sini yang tidak berdaftar di bawah Akta Pusat  Jagaan 1993 sejak 2013 dan menempatkan 33 kanak-kanak ketika diperiksa.

Manakala Nurul Huda pula didakwa menjalankan operasi Pusat Jagaan Qaseh Iman di Jalan Zamrud Taman Sri Permata juga tidak berdaftar dengan JKM sejak 2017 dan ketika diserbu terdapat sejumlah 12 kanak-kanak.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa JKM Eny Edayu Mat Ali dan Nor Aswana Selamat sebelum itu memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh kerana ia membabitkan kesejahteraan dan keselematan kanak-kanak.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan kerana sudah berusaha membuat pendaftaran dan mematuhi syarat lain yang ditetapkan termasuk mengupah pelukis pelan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan Siti Syakirah didenda RM4,000 atau lima bulan penjara dan Nurul Huda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.  -  UTUSAN ONLINE