Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas tarikh dicadangkan Peguam Persekutuan Kanan, Kamal Azira Hassan yang mewakili Kerajaan Persekutuan sebagai plaintif dipersetujui pihak defendan.

Sebelum ini, pada 14 Januari lalu, plaintif memfailkan saman terhadap lapan defendan termasuk Kerajaan Pas Kelantan bagi mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Plaintif menamakan Kerajaan Pas Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan serta Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Defendan keempat hingga kelapan pula ialah syarikat M7 Plantation Berhad, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Berhad, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan Fleet Precision Sdn Bhd.

Sementara itu, Kamal Azira ketika dihubungi berkata, hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan Kerajaan Persekutuan selaku plaintif tunggal mendapatkan perintah injunksi terhadap defendan keempat hingga kelapan bagi menghalang mereka daripada memasuki lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak defendan baharu saja menerima writ saman yang difailkan pada 14 Januari lalu dan memohon satu tempoh untuk memfailkan afidavit sebelum mahkamah menetapkan 25 Februari depan untuk urusan itu.

“Pihak kami pula (Kerajaan Malaysia) perlu memfailkan afidavit balasan pada 11 Mac dan mahkamah juga menetapkan pengurusan kes pada 27 Mac depan bagi memastikan kesemua dokumen lengkap sebelum perbicaraan dimulakan,” katanya.

Antara alasan injunksi itu difailkan adalah untuk melindungi hak Orang Asli dari suku kaum Temiar di Pos Simpor, Gua Musang yang merangkumi 10 kampung yang hidup di situ sejak turun-temurun.

Plaintif juga mempunyai tanggungjawab pelembangaan dan perundangan untuk menjamin dan melindungi kebebasan asasi semua rakyat Malaysia termasuk Orang Asli.

Disebabkan keputusan dibuat defendan pertama hingga ketiga, defendan keempat hingga kelapan memasuki Pos Simpor bagi aktiviti komersial, atau perniagaan dan projek di atas tanah tersebut untuk keuntungan mereka tanpa mengendahkan hak-hak Orang Asli.

Hasil tindakan defendan-denfendan tersebut, tanah itu telah dirosakkan dan dimusnahkan dan oleh yang demikian, telah menjejaskan kehidupan Orang Asli Pos Simpor dan hak mereka ke tanah tanah adat mereka.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Kerajaan Kelantan, Datuk Shahidani Abdul Azizi berkata, defendan pertama hingga ketiga dalam kes saman terbabit tidak tersenarai dalam permohonan injunksi yang dimohon plaintif hari ini, namun akan turut memfailkan afidavit hujahan.

“Pihak defendan baru saja menerima writ saman dan memerlukan sedikit masa untuk proses menyiapkan afidavit berkenaan sebelum plaintif membuat afidavit balasan,” katanya. - UTUSAN ONLINE