Portal Press TV memetik kenyataan dikeluarkan oleh OCHA sebagai berkata, tindakan itu telah dilaksanakan oleh rangkaian kumpulan hak asasi Israel dan beberapa organisasi bersekutu dengan sokongan penuh rejim Zionis.

SHEIKH NAIM QASSEM
SHEIKH NAIM QASSEM 

Jelas kenyataan berkenaan, tindakan tersebut memberi kesan negatif kepada keupayaan organisasi kemanusiaan untuk menghantar bantuan dan membela hak-hak penduduk Palestin.

Tambah OCHA, Israel dikatakan cuba ‘melancarkan kempen fitnah’ terhadap organi­sasi kemanusiaan dengan mendakwa mereka melanggar undang-undang anti keganasan serta antarabangsa, atau melakukan tindakan berunsur politik terhadap Israel.

OCHA bagaimanapun menegaskan, kebanyakan dakwaan terbabit adalah ‘tidak berasas atau salah dan mengganggu elemen kritikal, fakta atau undang-undang’.

Selain itu, kempen berkenaan juga melibatkan ‘halangan oleh bank Israel bagi memindahkan dana dan prosedur untuk menutup akaun; keengganan pihak-pihak tertentu menganjurkan acara membabitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan potensi menyebarkan maklumat tidak benar yang dikeluarkan oleh organisasi yang reputasinya sudah terjejas’.

Persatuan Agensi Pembangunan Antarabangsa (AIDA) yang mewakili majoriti NGO antarabangsa dan beberapa pertubuhan di Palestin menjalankan tinjauan dalam kalangan anggotanya antara Oktober dan November tahun lalu untuk menilai kesan kempen tersebut.

Sebanyak 43 peratus daripada ahli AIDA berkata, kempen itu telah menjejaskan pembiayaan mereka.

Dalam perkembangan berlainan, pegawai tertinggi kumpulan pejuang Hezbollah dari Lebanon menuduh rejim Zionis merupakan dalang di sebalik krisis membelenggu Asia Barat.

“Pencerobohan Israel adalah masalah terbesar di rantau ini. Israel mencampuri isu dunia manakala Amerika Syarikat (AS) dan Eropah cuba membantu mengukuhkan hubu­ngan Israel dengan beberapa negara Arab, supaya rejim Zionis dapat diterima di peringkat antarabangsa dan rantau ini.

“Israel adalah masalah utama dan dalang di sebalik krisis sedia ada. Rantau ini akan terus­ menderita daripada krisis yang berlanjutan selagi Zionis wujud dan bertindak agresif di bawah pemantauan AS,” kata Timbalan Setiausaha Agung Hezbollah, Sheikh Naim Qassem ketika menghadiri wawancara dengan stesen te­levisyen Arab, al-Manar.