Portal berita al-Jazeera me­laporkan, perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi menghalang warga Palestin menyusup masuk dari Gaza.

Menurutnya, usaha me­ngukuhkan tembok berkenaan memasuki fasa baharu dengan kerja-kerja binaan pemisah gergasi giat dilakukan di sempadan.

“Pada hujung minggu lalu, kami mulakan proses pembinaan tembok pemisah sepanjang sempadan Gaza,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Tembok tersebut yang akan didirikan setinggi enam meter dipercayai mampu menghalang penduduk Palestin melepasi sempadan.

BERSAMBUNG ‘TEMBOK MARITIM’

Fasa baharu pembinaan tembok itu ditetapkan untuk mengikuti pembinaan tembok sepanjang 65 kilo­meter sedia ada yang bertujuan meneutralkan ancaman terowong rentas sempadan yang dibina pejuang Palestin.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, kerja-kerja fasa baharu dimulakan Khamis lalu dan di penghujung temboknya akan bersambungan dengan ‘tembok maritim’ di Laut Mediterranean bagi menyekat serangan Palestin me­lalui laluan air.

Pembinaan tembok dijang­ka selesai menjelang akhir tahun ini.

“Tembok itu sangat besar dan kuat,” jelas kementerian itu.

Agensi berita Palestin, Maan melaporkan, tentera Israel menahan lima penduduk Palestin yang menyeberang pagar Israel di selatan Gaza semalam.

Dalam perang Gaza yang terakhir pada 2014, tentera Israel membunuh empat pejuang Hamas yang melintasi Israel melalui laluan laut.

TINDAKAN KETENTERAAN?

Israel mendirikan tembok konkrit untuk memisahkan Tebing Barat dari Baitulmuqaddis dua tahun selepas Intifada kedua bermula pada 2000.

Rejim itu juga telah membina dinding sepanjang sempadan dengan Mesir, Jordan, Lebanon dan Bukit Golan.

Beberapa pengkritik Israel mengatakan bahawa Netanyahu tidak bersedia untuk melihat peningkatan dalam permusuhan dengan Hamas menjelang pilihan raya umum pada April ini.

Tetapi beliau yang juga Menteri Pertahanan menjanjikan proses pilihan raya tidak akan mempengaruhi keputusan keselamatan.

“Jika ketena­n­gan tidak dike­kal­kan di Gaza, kita akan membuat keputusan walaupun dalam tempoh pilihan raya dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak,” katanya.

PENDEDAHAN OCHA

Press TV melaporkan, rejim Zionis menembak mati tiga rakyat Palestin di Tebing Barat dan al-Quds awal tahun ini.

Pejabat Koordinasi Hal Eh­wal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) mendedahkan, seorang lelaki ditembak di Nablus ekoran cubaan untuk menyerang salah seorang tentera Israel.

Seorang remaja lelaki pula ditembak di sebuah perkampungan di Ramallah kerana melontar batu ke arah anggota tentera Israel.

Pada masa yang sama, seorang lagi lelaki ditembak di al-Quds kerana gagal memberhentikan kenderaan seperti diarahkan Zionis.

Sejak awal Disember tahun lalu, kira-kira 11 penduduk Palestin di Tebing Barat telah ditembak mati oleh tentera Israel.

Kumpulan hak asasi manusia secara berulang kali mengecam Israel atas pembunuhan warga Palestin yang menjadi polisi rejim tersebut.

Dalam pada itu, OCHA men­dedahkan sebanyak 20 ba­ngunan milik Palestin di Tebing Barat telah dimusnahkan Israel atas alasan tiada permit.

“Mereka turut mengusir 26 warga Palestin. Tindakan itu juga memberi kesan kepada 54 penduduk Palestin yang lain,” katanya.