YURIKO KOIKE (tengah) meraikan kejayaannya selepas dilantik sebagai Gabenor wanita pertama Tokyo di Tokyo, kelmarin. AFP

Koike, 64, yang merupakan wanita pertama dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 2007 dan bekas Menteri Alam Sekitar pada 2003 sehingga 2005, me-ngalahkan pencabarnya, Hiroya Masuda yang disokong oleh Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Menurut laman web edition.cnn.com, bekas graduan Universiti Kaherah itu merupakan wanita yang lantang bersuara serta se­ring mengkritik hal ehwal Jepun termasuk hubungannya dengan dunia luar.

Koike juga sering mengkritik Korea Utara dan menuduh rakyat negara itu yang menetap di Jepun mengirim wang bagi menyokong rejim Presiden Kim Jong-un.

Beliau juga memuji Presiden Taiwan yang baharu dilantik, Tsai Ying-wen dan memberi amaran kepada calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump, berpotensi merosakkan hubungan AS-Jepun.

Sebagai Gabenor Tokyo, Koike dipertanggungjawabkan membuat persediaan bagi temasya Sukan Olimpik musim panas yang akan berlangsung pada 2020.

Walaupun temasya sukan itu akan berlangsung empat tahun lagi, namun rancangan penganjurannya mengundang pelbagai kontroversi berikutan kelewatan pembinaan stadium utama, setelah pelan berprofil tinggi oleh arkitek Zaha Hadid dibatalkan pada saat-saat akhir.

Logo rasmi temasya itu juga telah dibatalkan kerana reka bentuknya didakwa merupakan hasil plagiat.